KUALA LUMPUR – Jenama fesyen terkemuka, Qiszar, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas tular satu kontroversi membabitkan seorang live host TikTok yang berkhidmat dengan mereka.
Dalam kenyataan rasmi melalui platform Threads, Qiszar menjelaskan bahawa pihaknya mengambil tindakan segera sejurus dimaklumkan mengenai insiden berkenaan kepada pihak pengurusan.
Menurut kenyataan itu, individu yang mengendalikan sesi siaran langsung tersebut telah diberhentikan serta-merta berikutan tindakannya yang tidak mencerminkan nilai dan etika syarikat.
“Kami memohon maaf atas apa yang berlaku ketika sesi siaran langsung. Kami telah menerima maklum balas anda dan tindakan segera telah diambil. Live host terlibat telah dibuang kerja kerana tingkah lakunya tidak dapat diterima dan tidak mewakili nilai Qiszar. Apa yang berlaku jelas bertentangan dengan etika kami. Kami sudah bertahun-tahun menjalankan sesi live dengan penuh rasa hormat dan profesionalisme,” jelas Qiszar.
Qiszar dalam kenyataan sama turut menegaskan komitmen mereka dalam menghormati wanita daripada pelbagai bentuk tubuh dan latar belakang.
Jenama itu juga menghargai masyarakat yang menegur dan mengangkat isu berkenaan, selain memberi jaminan bahawa penambahbaikan akan dilakukan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Sebelum ini, seorang pengguna media sosial memuat naik video memaparkan detik ketika seorang penonton bertanya mengenai saiz pakaian sesuai untuk individu seberat 90 kilogram. Namun, live host terbabit didakwa memberikan respons sinis sambil ketawa, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai.
Kontroversi itu turut mengundang perbincangan hangat di media sosial mengenai isu body shaming dan profesionalisme dalam pemasaran secara langsung.


