KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di kediaman beliau di Damai, di sini, petang tadi.
Dalam kunjungan berkenaan, Anwar menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Kinabatangan itu serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan pemimpin berpengalaman tersebut. Beliau turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Turut hadir menziarahi keluarga Allahyarham ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada usia 66 tahun akibat komplikasi paru-paru dan buah pinggang.
Allahyarham merupakan tokoh politik yang lama berkhidmat, termasuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Karier politiknya turut dikenang menerusi kemenangan pertama pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999, yang menyaksikan beliau memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan sebelum terus berkhidmat selama enam penggal sebagai wakil rakyat kawasan itu.

