KUALA LUMPUR – Polis meminta saksi kejadian termasuk pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) tampil membantu siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Kuchai Lama, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu susulan penularan video di media sosial menerusi platform TikTok.
Menurut beliau, kemalangan berlaku pada 8 Disember lalu kira-kira pukul 12.30 tengah malam, membabitkan sebuah motosikal jenis Honda RS150 dan sebuah kereta jenis Honda City yang bergerak dari arah Sri Petaling menghala ke Jalan Klang Lama.
“Siasatan awal mendapati perlanggaran berlaku ketika motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 25 tahun melalui selekoh jalan sebelum dilanggar oleh kereta dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun dari arah sama. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kes pada mulanya disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum diklasifikasikan semula kepada Seksyen 41(1) akta sama selepas mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HCTM kira-kira pukul 7.11 pagi, 9 Disember lalu.
Polis turut merakam percakapan pemandu kereta yang terlibat dan individu berkenaan telah membuat laporan polis pada hari kejadian.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” ujarnya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Salehuddin Musa di Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

