ARAU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah, hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-12 dalam satu istiadat mengangkat sumpah jawatan yang berlangsung di Istana Arau.
Majlis berkenaan diadakan kira-kira jam 4 petang di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Hadir sama ialah barisan ADUN Perlis termasuk bekas Menteri Besar Perlis merangkap ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli, serta ADUN Indera Kayangan daripada Pakatan Harapan, Gan Ay Ling.
Bagaimanapun, ADUN Mata Ayer daripada Pas, Wan Badariah Wan Saad, dan ADUN Titi Tinggi daripada Bersatu, Izizam Ibrahim, tidak hadir kerana berada di luar negara.
Tiga ADUN Pas iaitu Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) yang sebelum ini dipecat daripada parti pula tidak dijemput menghadiri majlis berkenaan.
Turut hadir ialah Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Rus’sele Eizan; serta Ketua Polis Perlis, Datuk Mohammad Abdul Halim.
Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersatu Perlis mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada Mohd Shukri yang meletakkan jawatan pada Khamis lalu atas alasan masalah kesihatan.
Sebelum pelantikannya, Abu Bakar memegang beberapa portfolio penting termasuk Pelancongan, Seni dan Budaya serta Pembangunan Luar Bandar, selain turut berperanan sebagai Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Perlis.
Pelantikan beliau dibuat susulan kemelut politik di negeri itu selepas beberapa ADUN Perikatan Nasional menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri, sekali gus membawa kepada peletakan jawatan bekas Menteri Besar berkenaan.

