MERSING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mengalami kecederaan di kepala selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 43, sempadan Mersing, pada Jumaat.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Azlan Hamzah, panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut diterima pada jam 2.49 petang.
âKami mengerahkan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai. Terdapat seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang berada dalam Honda Accord mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,â kata beliau dalam kenyataan.
Dalam kemalangan itu, sebuah Proton Persona dilaporkan terbakar dengan kemusnahan dianggarkan 80 peratus, namun kedua-dua mangsa di dalam kenderaan tersebut dilaporkan selamat.
Sementara itu, sebuah Perodua Myvi yang membawa tiga mangsa serta sebuah lori treler dengan seorang mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua tujuh mangsa telah diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut. Operasi pemadaman kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula berjaya memadamkan api sepenuhnya, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.47 petang.

