TAMPIN – Perjalanan pulang dua beradik daripada menjamu selera bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas motosikal yang dinaiki terjatuh ke dalam lubang pembetungan yang dalam pembinaan di Jalan Bunga Tanjung, malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 10.10 malam itu, mangsa yang berusia 14 tahun dan juga pelajar tingkatan dua, menaiki sebuah motosikal bersama abangnya yang berusia 17 tahun dalam perjalanan ke rumah seorang kawan di Kuala Ina, di sini.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, motosikal tersebut dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan menyebabkan mangsa tercampak ke dalam lubang sedalam 10 meter.
“Kemalangan jalan raya di Jalan Bunga Tanjung membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y100 yang ditunggang seorang lelaki berumur 17 tahun bersama adiknya berusia 14 tahun. Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari Pekan Tampin menghala ke Kuala Ina selepas selesai makan malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Amiruddien, apabila sampai di lokasi kejadian, penunggang dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh dan terus melanggar pembetung yang sedang dalam pembinaan di bahu kiri jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan pembonceng tercampak jatuh ke dalam lubang pembetung. Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba,” katanya.
Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami cedera ringan, manakala pembonceng disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.30 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tampin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil ke Balai Polis Trafik Daerah Tampin atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sritharan di talian 06-4412502 bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” tambahnya.

