KUALA LUMPUR – Pengurusan kewangan melibatkan kutipan yuran pelajar serta perbelanjaan program di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tahun 2024 didapati mempunyai beberapa kelemahan ketara, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 1/2026 yang dikeluarkan hari ini.
Audit mendapati jumlah keseluruhan yuran pelajar bagi dua program iaitu SPEND dan DPLI mencecah RM60.77 juta, namun sebahagian besar kutipan tidak diurus secara langsung oleh universiti.
Daripada jumlah itu, hanya RM2.43 juta direkodkan sebagai kutipan UKM, manakala RM50.74 juta dikendalikan oleh pihak koperasi dan sejumlah RM7.60 juta pula masih belum diterima.
Penemuan audit turut menunjukkan kutipan yang dibuat koperasi berkenaan tidak mempunyai kebenaran sewajarnya, selain perjanjian kerjasama berkaitan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa kewangan negara.
Dalam masa sama, audit mengenal pasti sebanyak RM32.36 juta hasil yuran tidak direkodkan dalam akaun universiti walaupun ia merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan kutipan pelajar.
Isu kelewatan penyerahan wang juga dibangkitkan apabila agihan sebanyak RM21.02 juta diserahkan kepada universiti lewat antara satu hingga hampir 10 bulan.
Malah, terdapat baki RM5.32 juta yang masih belum diserahkan walaupun tempoh kutipan telah melebihi tiga tahun.
Audit turut menimbulkan kebimbangan berhubung potensi konflik kepentingan selepas mendapati beberapa pegawai universiti memegang jawatan penting dalam koperasi yang terlibat mengurus kutipan tersebut.
Selain isu hasil pelajar, semakan terhadap perbelanjaan bagi perkhidmatan dan bekalan di UKMShape menunjukkan jumlah keseluruhan RM57.67 juta dibelanjakan, dengan RM6.69 juta dikenal pasti sebagai tidak mematuhi prosedur kewangan.
Antara ketidakpatuhan yang direkodkan termasuk pembayaran komisen hampir RM6 juta kepada ejen yang tidak layak, pembiayaan perjalanan ke luar negara melibatkan individu bukan kakitangan universiti, serta pembayaran elaun kepada pelajar yang tidak memenuhi syarat.
Audit juga mengesan perbelanjaan pendahuluan berjumlah RM200,000 tanpa kelulusan sah serta perolehan bernilai lebih RM400,000 yang tidak melalui proses Jawatankuasa Sebut Harga seperti ditetapkan.
Secara keseluruhan, audit merumuskan wujud pelanggaran prinsip tadbir urus kewangan dan ketidakpatuhan kepada peraturan sedia ada dalam pengurusan hasil serta perbelanjaan universiti berkenaan.
Sehubungan itu, beberapa cadangan penambahbaikan dikemukakan termasuk memperkukuh pemantauan kutipan yuran oleh pihak koperasi, memastikan baki bayaran dipungut segera serta menyemak semula semua perjanjian kerjasama supaya selaras dengan peruntukan undang-undang universiti.

