KOTA BHARU – Seorang lelaki yang tular kerana memakai kostum ikan duyung ketika mempromosikan air balang di hadapan sebuah gerai di Pengkalan Chepa baru-baru ini ditahan pihak berkuasa agama pada isnin lalu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) di rumahnya di Kampung Chetok, Pasir Mas, sebelum dibebaskan dengan bon jaminan selepas memberikan keterangan.
Menurut beliau, lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 19 dan 20 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (1) 2019 atas kesalahan berpakaian seperti wanita dan berkelakuan tidak sopan.
“Siasatan mendapati lelaki itu dipercayai menerima bayaran sebanyak RM200 daripada pemilik gerai air balang bagi menghasilkan video promosi perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa lelaki tersebut diarahkan hadir semula ke pejabat Jaheaik pada 8 Jun depan bagi tindakan lanjut.
Hasil siasatan awal mendapati rakaman video berkenaan dibuat sehari sebelum Ramadan dan dimuat naik ke media sosial pada 1 Ramadan lalu, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna internet.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa tempatan dilaporkan telah menarik balik permit jualan gerai air balang tersebut selain mengeluarkan kompaun kepada pemilik premis pada 22 Februari lalu.
Sebelum ini, kes berkenaan mendapat perhatian selepas video memaparkan lelaki berkostum duyung itu dirakam di sebuah gerai sekitar Kota Bharu menjadi tular di media sosial.

