Kumaahran selamatkan Sabah, ikat Negeri Sembilan 1-1

KOTA KINABALU – Jaringan dramatik babak kedua pemain gantian, S Kumaahran menyelamatkan Sabah FC daripada kekalahan apabila mengikat Negeri Sembilan FC 1-1 dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Likas, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan pengendali baharu Sabah, Juan Torres Garrido dan ketua jurulatih interim Negeri Sembilan, K Rajan berkongsi satu mata pada tugasan pertama mereka mengemudi pasukan masing-masing.

Skuad Badak bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pembukaan pelawat pada minit ke-33 menerusi Jovan Motika yang bijak memperdaya pertahanan sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol, Damien Lim.

Tindakan Garrido membawa masuk Kumaahran pada minit ke-56 nyata memberi impak terhadap jentera serangan tuan rumah. Beberapa hantaran menariknya berjaya mencipta deretan peluang buat Sabah yang sebelum itu tampak buntu menembusi benteng pertahanan lawan.

Drama tercetus pada minit ke-69 apabila Kumaahran meledak gol penyamaan selepas sepakan percuma pantas dilakukan Duje Ljubic ketika pintu gol Negeri Sembilan terbuka luas susulan penjaga gol, Azri Ghani keluar dari posisinya.

Azri dipercayai bertindak keluar menuju ke arah pengadil, Muhamad Afiq Naim Ahmad Khilmi bagi membuat bantahan terhadap sepakan percuma yang diberikan kepada Sabah. Namun, pengadil berkenaan turut menyemak video bantuan pengadil (VAR) sebelum mengesahkan jaringan tersebut.

Aksi sengit terus dipamerkan kedua-dua pasukan selepas itu, namun tiada tambahan jaringan dihasilkan sehingga wisel penamat dibunyikan, menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Keputusan itu menyaksikan Sabah kekal di kedudukan ke-10 liga dengan 15 mata, manakala Negeri Sembilan yang mengumpul 18 mata daripada 17 perlawanan menghuni tangga ketujuh carta liga. – MYBERITA

BACA JUGA:  Terengganu FC tundukkan MFC 2-1 di Hang Jebat
Nabil Qodri
Nabil Qodri
nabilqodri@portalmyberita.com

TRENDING

Seni tempatan tembusi istana Brunei

KUALA LUMPUR – Seorang pelukis Malaysia, Muhammad Darwisy Mustafani,...

Kecurian kabel jejaskan laluan Putrajaya, perkhidmatan baik pulih berperingkat dalam tiga hari

KUALA LUMPUR - Kerja baik pulih perkhidmatan tren yang...

Tiada rekod pengislaman penuntut UMPSA terlibat isu hina agama – MUIP

KUANTAN - Semakan terhadap rekod Majlis Ugama Islam dan...

Orang ramai boleh tengok fenomena ‘bulan berdarah’ petang ini

KUALA LUMPUR – Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena alam...

Pelajar UMPSA didakwa pijak al-Quran mengaku tak salah

KUANTAN - Seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah...