Lelaki kejam sepak, campak anak kucing dipenjara 22 bulan

SHAH ALAM – Perbuatan kejam seorang lelaki yang menyepak dan mencampak seekor anak kucing sehingga mati, yang videonya tular tahun lalu, menerima padah apabila diperintah menjalani hukuman penjara 22 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas gagal membayar denda RM60,000.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Daniel Hakim Abdullah, 39, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Mengikut pertuduhan, mekanik itu didakwa dengan kejam menyepak dan mencampak seekor anak kucing berwarna putih sehingga menyebabkan kematian haiwan berkenaan di sebuah pangsapuri di Seksyen U16, di sini antara jam 4.50 pagi hingga 5 pagi, 3 Oktober 2025.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh terjumpa dua ekor anak kucing berwarna hitam dan putih di hadapan rumahnya sebelum memasukkan kedua-duanya ke dalam sebuah beg dan dibawa ke hadapan rumah jirannya. Dia kemudian mengeluarkan semula haiwan itu sebelum bertindak menyepak kedua-duanya.

Perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang memaparkan OKS mencampak dan menyepak anak kucing tersebut sebelum video itu tular di pelbagai platform media sosial.

Bertindak atas aduan, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan Negeri Selangor tiba di lokasi pada jam 9.15 malam hari sama dan menemui seekor anak kucing putih yang telah mati serta ditanam.

Bedah siasat pada 9 Oktober 2025 mendapati terdapat kesan retak pada tengkorak kepala dan pendarahan pada paru-paru selain patah tulang rusuk. Punca kematian dikenal pasti akibat kegagalan sistem pernafasan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

BACA JUGA:  Lelaki kelar bekas teman wanita didakwa hari ini

Terdahulu, peguam Amirah Badriyah Azahar yang mewakili tertuduh merayu hukuman penjara kurang setahun atas alasan anak guamnya tidak mampu membayar denda kerana berpendapatan sekitar RM1,700 sebulan serta menanggung isteri dan anak berusia tujuh bulan.

Menurutnya, tertuduh turut menyara bapa berusia 76 tahun yang kini tenat selain menghidap darah tinggi dan migrain kronik.

Beliau berkata, tekanan akibat kehadiran kucing tidak bertuan yang sering membuang najis di hadapan rumahnya menyebabkan tertuduh hilang pertimbangan dan bertindak di luar kawalan, namun kini menyesali perbuatannya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, Mohd Sharif Sabran memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak menzalimi haiwan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM60,000 dan penjara 22 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. – MYBERITA

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com

TRENDING

Seni tempatan tembusi istana Brunei

KUALA LUMPUR – Seorang pelukis Malaysia, Muhammad Darwisy Mustafani,...

Kecurian kabel jejaskan laluan Putrajaya, perkhidmatan baik pulih berperingkat dalam tiga hari

KUALA LUMPUR - Kerja baik pulih perkhidmatan tren yang...

Tiada rekod pengislaman penuntut UMPSA terlibat isu hina agama – MUIP

KUANTAN - Semakan terhadap rekod Majlis Ugama Islam dan...

Orang ramai boleh tengok fenomena ‘bulan berdarah’ petang ini

KUALA LUMPUR – Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena alam...

Pelajar UMPSA didakwa pijak al-Quran mengaku tak salah

KUANTAN - Seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah...