KUALA LUMPUR – Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa berang terhadap individu yang didakwa terlibat dalam penyelewengan wang zakat sehingga menjejaskan golongan yang benar-benar memerlukan.
Menerusi perkongsian video di TikTok, Aliff, 38, menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan kerana dana zakat sepatutnya disalurkan kepada fakir miskin, ibu tunggal dan pelajar.
“Awak punya hati ini ada apa ya? Hati binatang atau hati apa? Duit zakat pun nak sakau.
“Tahu tak duit itu untuk golongan fakir miskin, ibu tunggal dan pelajar. Awak sakau kenapa?” katanya.
Menurutnya, perbuatan itu menjadi punca ramai individu yang layak menerima bantuan gagal mendapat hak mereka walaupun telah membuat permohonan berkali-kali.
“Orang lain merayu-rayu minta zakat tak dapat-dapat, awaklah puncanya.
“Selepas itu, tak fasal-fasal yang mencurinya seorang tetapi semua pusat zakat lain pula terpalit. Orang jadi takut nak bagi zakat kepada pusat zakat,” ujarnya.
Tambah Aliff, dia selama ini berusaha keras dalam perniagaan dengan niat untuk membantu lebih ramai golongan memerlukan melalui pembayaran zakat.
“Saya berniaga siang malam dengan niat nak bantu orang beri zakat. Saya jual beg dan macam-macam produk demi misi nak beri zakat sebanyak yang mungkin tetapi awak tukang sakau,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antara tiga individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta. –MYBERITA

