Runtuhan besar Filipina, rakyat Malaysia sempat berhubung sebelum ditemui maut

MANILA – Seorang rakyat Malaysia disahkan meninggal dunia selepas terperangkap di sebuah hotel apartmen berhampiran lokasi bangunan runtuh di Bandar Angeles, Pampanga, utara Filipina, awal pagi Ahad.

Mangsa berusia 51 tahun itu dilaporkan menginap di sebuah hotel bajet berhampiran yang turut rosak selepas struktur konkrit daripada bangunan yang runtuh menghempap kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua Bomba Filipina, Rico Kwan Tiu berkata, mangsa sempat berhubung dengan pasukan penyelamat menerusi telefon sejurus selepas kejadian kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan.

“Malangnya, ketika kami berjaya mengeluarkannya sebentar tadi, dia sudah tidak bernyawa.

“Kami akan meneruskan operasi menyelamat sehingga berjaya menemukan semua mangsa yang terperangkap. Masih ada mangsa yang hidup dan saya pasti mengenainya,” katanya.

Insiden itu melibatkan sebuah bangunan sembilan tingkat yang masih dalam pembinaan dan diluluskan sebagai kondominium hotel, namun tingkat ke-10 yang dirancang sebagai kolam renang sedang dibina ketika runtuhan berlaku.

Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan pekerja serta anggota penyelamat dilihat memanjat timbunan kepingan konkrit dan besi yang remuk serta dilitupi jaring hijau bagi mengesan mangsa yang masih hidup.

Pegawai maklumat bandar raya, Jay Pelayo sebelum ini memberitahu Reuters bahawa warga Malaysia tersebut pada awalnya berjaya dikesan dan dihubungi ketika terperangkap di hotel berhampiran.

Menurut jurucakap serantau Biro Perlindungan Kebakaran Filipina, Maria Leah Sajili, seramai lima individu disahkan terperangkap, dengan dua daripadanya masih dapat berhubung dengan pasukan penyelamat.

Katanya, 18 lagi pekerja binaan yang bertugas ketika kejadian masih belum dapat dikesan.

“Kami ada lima mangsa yang disahkan terperangkap dan terdapat 18 pekerja daripada senarai pekerja pembinaan yang bertugas hari ini, namun masih belum ada maklum balas daripada keluarga mereka.

“Ini menjadikan anggaran jumlah mangsa yang terperangkap setakat ini adalah 23 orang,” katanya dalam sidang media.

Sajili berkata, setakat ini seramai 24 individu termasuk orang awam berhampiran lokasi berjaya diselamatkan, manakala tiada kematian lain dilaporkan selain mangsa warga Malaysia itu.

BACA JUGA:  Helikopter terhempas, seorang warga Malaysia terkorban

Pelayo berkata, ambulans dan jentera bomba telah dikerahkan ke lokasi, namun operasi berdepan cabaran besar berikutan kerja mengalihkan runtuhan konkrit yang tebal dan berat.

Beliau sebelum ini memaklumkan kepada radio DZBB bahawa antara 30 hingga 40 individu pada awalnya dikhuatiri terperangkap berdasarkan maklumat seorang penyelia tapak yang terselamat.

Datuk Bandar Bandar Angeles, Carmelo Lazatin pula berkata, kebanyakan mangsa dipercayai sedang tidur ketika kejadian berlaku pada awal pagi.

Pihak berkuasa Filipina kini masih menyiasat punca runtuhan bangunan tersebut.

Sumaiyah Safiah
Sumaiyah Safiah
saf@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...