KUALA LUMPUR – Peserta Big Stage X Rocketfuel, Danial Kifli mengakui persembahannya pada minggu suku akhir tidak mencapai tahap terbaik selepas berdepan beberapa masalah saat akhir sebelum naik ke pentas, termasuk isu kostum dan sakit kepala.
Walaupun menamatkan saingan di kedudukan terakhir dengan markah 65.50 peratus, Danial terselamat apabila tiada penyingkiran diumumkan pada konsert minggu suku akhir. Turut berada dalam kelompok tiga terbawah ialah Yad-Z dan Danny.
Danial berkata, dia menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana mengakui persembahannya sememangnya tidak memenuhi jangkaannya.
“Saya rasa memang saya deserve, saya layak. Sebab saya tahu itu bukan persembahan terbaik yang saya mampu berikan,” katanya ketika ditemui selepas konsert.
Menurutnya, dia tetap berasa sedih kerana sudah berusaha keras sepanjang minggu termasuk berlatih bersendirian di kampus selepas tamat kelas.
“Saya dah cuba buat yang terbaik. Lepas kelas pun saya berlatih seorang diri dalam bilik di kampus. Bila keputusan macam itu, memang rasa sedih sebab saya dah beri segala yang termampu,” katanya.
Mengulas punca persembahannya kurang menjadi, Danial mendedahkan kostumnya terpaksa dibaiki pada saat akhir selain mengalami sakit kepala sebelum persembahan bermula. Keadaan itu menyebabkan fokusnya terganggu.
“Sebelum persembahan kami terpaksa baiki baju, kena jahit sana sini. Lepas itu saya pula sakit kepala dan hanya sempat makan ubat kira-kira setengah jam sebelum naik pentas. Masa nak menyanyi saya rasa tak bersedia, sampai terlupa lirik dan hilang fokus,” katanya.
Bagaimanapun, Danial menegaskan dia tidak mahu menjadikan situasi tersebut sebagai alasan atas kelemahan persembahannya. Sebaliknya, beliau menganggap segala cabaran itu sebagai pengalaman berharga untuk memperbaiki diri dan tampil lebih baik pada minggu akan datang.
Menurutnya lagi, jadual pertandingan yang padat melibatkan latihan, kelas dan pelbagai aktiviti turut memberi kesan terhadap persediaannya, lebih-lebih lagi dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan lagu yang dipersembahkan.
“Kalau ada perubahan saat akhir, memang saya agak sukar nak sesuaikan diri. Tapi saya anggap semua ini sebagai proses pembelajaran dan pengalaman yang akan mematangkan saya,” katanya.
Meskipun berdepan tekanan bersaing dengan peserta lain yang lebih berpengalaman, Danial bertekad memanfaatkan peluang kedua yang diberikan selepas tiada penyingkiran diumumkan dengan memberikan persembahan yang lebih mantap pada konsert akan datang.


