SEREMBAN – Pertemuan selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah bertukar tegang apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan kemurkaan terhadap Datuk Seri Ismail Lasim dan enggan menerima beliau menghadap, hari ini.
Kejadian yang dirakam menerusi video tular di media sosial itu memperlihatkan baginda secara terbuka menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh berkenaan susulan dakwaan beliau pernah mempertikaikan kedudukan baginda sebagai pemerintah Negeri Sembilan.
Kemurkaan Tuanku Muhriz dipercayai berpunca daripada dakwaan bahawa Ismail sebelum ini menghantar surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyatakan baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Hari ini dia datang jumpa saya buat apa? Selagi dia tidak tarik balik apa yang dia kata, jangan datang jumpa saya. Pergi. Saya tak mahu jumpa awak. Jangan jumpa saya, saya tak mahu tengok awak. Faham? Adakah saya ini Yang di-Pertuan Besar atau tidak? Awak kata saya bukan,” titah baginda dalam bahasa Inggeris.
Menerusi rakaman berkenaan, Ismail yang mengenakan baju Melayu dilihat hanya mengangkat sembah ketika menerima teguran terbuka daripada baginda.
Sejurus selepas kejadian, kedengaran beberapa jemaah masjid melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sebagai tanda sokongan kepada Tuanku Muhriz.
Insiden itu berlaku ketika pertikaian berhubung institusi diraja Negeri Sembilan masih berlarutan sejak April lalu selepas empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai Undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz daripada kedudukan sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Pada Jun lalu, kumpulan Undang yang dipertikaikan itu turut mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu dalam satu majlis di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Melaka.
Perkembangan berkenaan mencetuskan pertikaian mengenai kedudukan institusi diraja Negeri Sembilan dan terus mendapat perhatian masyarakat.
Setakat ini, belum ada kenyataan balas daripada Ismail berhubung teguran terbuka serta dakwaan yang dibangkitkan oleh baginda. – MalaysiaGazette
