SEREMBAN – “Masalah dia kadang-kadang kita kurang iman, taksub dengan apa-apa, itu yang membuatkan saya terjebak.”
Demikian luahan seorang penghuni di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin yang bakal menamatkan hukuman penjara pada 4 November tahun hadapan.
Lee (bukan nama sebenar), 60, pertama kali melangkah ke penjara pada tahun 2014 selepas didapati bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
“Menyesal sangatlah, saya minta pada Allah SWT untuk taubat nasuha,” katanya.
Beliau dijatuhkan hukuman 14 tahun penjara dan lapan sebatan selepas dua kali dibicarakan di mahkamah.
“Saya masuk penjara umur 52 tahun, saya bebas 61 tahun,” katanya mengimbau kembali perjalanan hidupnya di sebalik tirai besi.
Mengakui kesilapan lampau, Lee menyatakan kekesalan yang mendalam.
“Saya buat seksual dengan saudara, tapi orang berkenaan telah meninggal dunia akibat paru-paru berair ketika mangsa umur 25 tahun.”
Sepanjang berada di dalam penjara, Lee yang dahulunya bekerja sebagai peniaga ayam telah kehilangan isterinya akibat jangkitan COVID-19 pada tahun 2020.
“Masa isteri sakit, saya tak sempat jumpa dia,” ujarnya dengan nada sayu.
Namun, beliau bersyukur kerana sempat memohon maaf kepada arwah sebelum pemergiannya.
“Saya sempat minta maaf dengan arwah isteri saya.”
Meskipun terhukum, Lee yang mempunyai enam orang anak dan tiga cucu memberitahu bahawa keluarganya masih menerima kehadirannya.
“Family masih terima saya,” katanya.
Menjelang hari kebebasannya, Lee bertekad untuk berubah dan menebus kesilapan silam.
“Apabila saya bebas, saya nak fokus beribadah,” katanya, mengambil pesanan terakhir isterinya sebagai panduan hidup.
Apabila ditanya berkenaan menjelang sambutan Aidilfitri kali ini, Lee memberitahu perayaan tahun ini amat berbeza buatnya.
“Raya tahun ni sedih, isteri tiada, anak jauh,” katanya yang sempat menulis kad ucapan buat anak-anaknya.

