KUALA LUMPUR – Seramai 150,557 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bagi sesi kemasukan tahun ini, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Dalam kenyataan rasmi hari ini, KPT memaklumkan bahawa daripada jumlah tersebut, 86,589 calon ditawarkan tempat di universiti awam, manakala 42,058 calon diterima masuk ke politeknik, 20,427 ke kolej komuniti, dan 1,483 ke institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi.
Bagi Tawaran Laluan Khas, seramai 17,693 calon berjaya mendapat tempat dengan pecahan seperti berikut: 16,189 daripada keluarga B40, 590 orang kurang upaya (OKU), 593 atlet, serta 321 Orang Asli. Selain itu, 43 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menerima tawaran pengajian.
KPT turut menjelaskan bahawa sebanyak 349 program pengajian ditawarkan, melibatkan 41 program sijil, 55 program asasi, 252 diploma, dan satu program ijazah sarjana muda.
“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi ini dilaksanakan berasaskan prinsip meritokrasi, dengan calon disusun mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” menurut kenyataan tersebut.
Untuk rekod, sebanyak 223,624 permohonan yang layak telah diterima melalui sistem UPUOnline® bagi kemasukan kali ini.
Bagi calon yang tidak berjaya dalam permohonan pertama, KPT memaklumkan bahawa mereka boleh membuat rayuan melalui UPUOnline® bermula 16 Jun jam 12 tengah hari sehingga 25 Jun jam 5 petang.

