KUALA LUMPUR – Tragedi menyayat hati menimpa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, yang dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, semalam.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, selepas insiden tersebut yang dipercayai berlaku akibat buli.
Susulan kejadian itu, ibu kepada mangsa tampil menyuarakan rasa kecewa dan kesedihan mendalam menerusi satu hantaran di media sosial. Dalam perkongsian itu, beliau turut mendakwa anaknya sering dibuli dan menuntut individu terlibat tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menurut wanita berkenaan, Zara kerap menyebut nama pelaku yang didakwa membulinya dan menyatakan bahawa dia tidak akan memaafkan sesiapa selagi tiada pengakuan dan permohonan maaf dibuat oleh pihak terlibat.
Terdahulu, media melaporkan kejadian seorang pelajar perempuan terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah agama tersebut. Kejadian itu menimbulkan pelbagai reaksi warganet yang bersimpati dan menuntut siasatan telus dijalankan.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar kejadian termasuk kemungkinan unsur jenayah atau buli.
Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan spekulasi sehingga laporan rasmi diumumkan.

