PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara telah dikemukakan lebih awal dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Beliau menyangkal dakwaan kononnya berlaku pertukaran nama calon pada saat akhir, menyifatkan tohmahan tersebut sebagai tidak berasas dan cuba mempolitikkan proses pelantikan.
“Kekeliruan ini sengaja dibangkitkan segelintir pihak bagi mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat. Sistem kehakiman dituduh rosak, dan saya sendiri dikritik kerana kononnya tidak menjawab dakwaan tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Anwar, beliau tidak boleh mengulas lebih awal kerana proses pelantikan masih berjalan dan tertakluk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan saranan daripada Perdana Menteri serta perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas dirunding bersama Majlis Raja-Raja.
“Perbincangan Majlis Raja-Raja berlangsung pada 15 dan 16 Julai lalu. Nama calon telah saya kemukakan sebelum negara ‘riuh’ tentang isu ini. Kita hanya tunggu giliran mesyuarat Majlis Raja-Raja,” ujarnya.
Tambah beliau, pelantikan lain seperti Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga telah dikemukakan lebih awal, mengikut proses yang ditetapkan tanpa sebarang perubahan saat akhir.
“Tidak timbul soal pertukaran nama. Nama yang dikemukakan sejak awal itu kekal dan tidak berubah. Kononnya ada nama lain yang masuk, Datuk ini atau Tan Sri itu. Tapi itu semua hanya spekulasi yang direka-reka,” tegas Anwar.
Beliau turut memaklumkan bahawa mungkin terdapat pihak yang membocorkan maklumat bagi mencetuskan pelbagai andaian, namun menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited kepada ketelusan dan keluhuran undang-undang.
“Kini setelah semuanya jelas, tiada lagi siapa yang bersuara. Saya harap rakyat dapat melihat perkara ini secara rasional dan tidak terpengaruh dengan permainan politik tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
Pelantikan Ketua Hakim Negara merupakan antara proses penting dalam memastikan kebebasan serta integriti sistem kehakiman negara terus terpelihara.

