ALOR SETAR – Kenaikan tarif air di Kedah yang mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos lalu tidak akan membebankan pengguna, terutama bagi kategori domestik, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau menjelaskan bahawa kadar baharu iaitu 81 sen bagi penggunaan 0 hingga 20 meter padu masih berada pada tahap rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.
Menurut Sanusi, langkah menaikkan tarif itu penting bagi memastikan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) mampu mengurus hutang berkaitan pembekalan air, sekali gus mengekalkan operasi dengan lebih mampan.
“Sada perlu menunjukkan keuntungan kerana keuntungan itu digunakan untuk membayar hutang kerajaan negeri. Ini bukan isu politik atau keuntungan semata-mata, tapi soal kelangsungan perkhidmatan,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Bau Wong (PH–Sidam) yang mempersoalkan keperluan menaikkan tarif air memandangkan Sada telah mencatatkan keuntungan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menjawab pertanyaan itu, Sanusi turut berkongsi bahawa walaupun Sada pernah mencatatkan kerugian sebanyak RM36 juta pada 2019, prestasi syarikat itu kembali pulih dan menunjukkan keuntungan secara konsisten sejak 2020.
Antara keuntungan yang direkodkan termasuk RM149,000 (2020), RM29.5 juta (2021), RM29.4 juta (2022), RM25.2 juta (2023), dan RM41.5 juta (2024). Bagi tahun ini, keuntungan Sada diunjurkan mencecah RM80 juta.
Dalam masa yang sama, Sanusi menjelaskan bahawa kawal selia berkaitan bekalan air bukan sepenuhnya di bawah kerajaan negeri, sebaliknya tertakluk kepada kuasa kerajaan persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“SPAN yang mengawal pelan perniagaan setiap operator air. Jika SPAN dapati pendapatan syarikat tidak cukup untuk bayar hutang, mereka boleh ambil alih pengurusan syarikat melalui kuasa eksekutif di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya.
Tambah beliau, semua operator air di negara ini telah memohon semakan tarif dan diluluskan, justeru Kedah tidak terkecuali daripada pelaksanaan semula kadar baharu demi kelangsungan perkhidmatan bekalan air.

