Peguam ibu Zara hormati keputusan mahkamah tolak bantahan

KOTA KINABALU – Peguam kepada ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir menghormati keputusan Mahkamah Koroner yang menolak bantahan mereka berhubung permohonan peguam lima remaja tertuduh untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian arwah.

Peguam Shahlan Jufri berkata, pihaknya telah mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu, namun Koroner Amir Shah Amir Hassan memutuskan untuk membenarkannya.

“Sebelah pagi tadi, proses awal dijalankan di mana semua pemohon yang mempunyai kepentingan membuat permohonan kepada hakim koroner baharu. Pihak kami dibenarkan menjadi pihak berkepentingan, begitu juga dengan peguam bela kanak-kanak yang dituduh.

“Selain itu, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) turut hadir sebagai peguam pemerhati,” katanya ketika ditemui di luar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pagi tadi.

Menurutnya, peguam kepada bapa arwah Zara juga dibenarkan sebagai pihak berkepentingan.

“Kami ada membantah terhadap permohonan peguam bela pesalah kanak-kanak, namun bantahan itu ditolak. Kami menghormati keputusan mahkamah,” katanya.

Seorang daripada tertuduh diwakili Datuk Ram Singh bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala empat lagi tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin serta Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Sementara itu, Shahlan dibantu pasukan guamannya terdiri daripada Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser yang mewakili ibu arwah, Noraidah Lamat.

Manakala bapa arwah pula diwakili peguam Sherzali Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Shahlan turut memaklumkan bahawa keterangan saksi pertama inkues akan bermula pada jam 2 petang ini, membabitkan pihak forensik.

“Setakat ini terdapat 68 saksi disenaraikan, namun jumlah itu mungkin bertambah sama ada daripada pihak kami atau pihak berkepentingan lain. Saksi terdiri daripada pasukan forensik, Jabatan Patologi, polis, pelajar sekolah, pegawai keselamatan, guru serta warden,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa ibu arwah, Noraidah Lamat, termasuk dalam senarai saksi, namun tarikh kehadirannya belum ditentukan.

BACA JUGA:  \"Jangan buat andaian, jangan buat spekulasi\" - peguam Naim

Mengulas mengenai perintah larangan, Shahlan berkata, sehingga kini tiada larangan dikeluarkan Mahkamah Koroner.

“Namun, sekiranya saksi kanak-kanak dipanggil, prosiding akan dijalankan secara dalam kamera (tertutup) bagi melindungi mereka kerana masih di bawah umur,” katanya.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...