JOHOR BAHRU â Jurulatih Palestin, Ihab Abujazar menegaskan kekalahan 0-1 pasukannya kepada Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi, bukan disebabkan ketiadaan beberapa tonggak utama.
Menurutnya, pemain seperti Musab Al Battat, Assad Al Hamlawi, Mohammed Saleh, Ameed Mahajna, Ameed Sawafta dan Agustin Manzur masih dibelenggu kecederaan, namun perkara itu tidak menjejaskan persiapan pasukan.
âTanpa mereka, persiapan kami tidak terganggu. Malah, mereka juga sudah tidak beraksi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
âApapun, tahniah kepada pasukan Malaysia. Saya lihat mereka telah banyak menunjukkan peningkatan dan kini menjadi antara pasukan yang kuat,â katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Ihab turut menepis tanggapan bahawa kehadiran ramai pemain warisan dan naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya menjadi faktor kemenangan pasukan negara.
Katanya, dalam bola sepak moden, kehadiran pemain warisan adalah lumrah untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.
âKehadiran mereka tidak ada kaitan dengan keputusan perlawanan. Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua pemain Malaysia adalah pemain Malaysia. Mereka bermain dengan baik sepanjang perlawanan,â jelasnya.
Bagaimanapun, Ihab memuji semangat juang anak buahnya yang mampu bangkit memberi tekanan hebat kepada Harimau Malaya pada 20 minit terakhir perlawanan, walaupun gagal menghasilkan jaringan penyamaan.
âPemain saya berjaya menekan lawan, cuma agak malang kami tidak dapat melakukan penyudah yang tepat,â katanya.
Gol tunggal Harimau Malaya dijaringkan oleh pemain import naturalisasi, Rodrigo Julian Holgado, sekaligus memastikan skuad bimbingan Kim Pan-gon mengekalkan momentum positif dalam siri perlawanan antarabangsa.

