KUALA LUMPUR – Selebriti dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi mendedahkan beliau bersama konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) kini sudah memasuki kawasan berisiko zon kuning dan semakin menghampiri Gaza, Palestin.
Heliza, 39, berkata sekiranya semua berjalan lancar seperti dirancang, mereka akan memasuki zon merah dalam masa terdekat dan berpeluang menyerahkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
“Bismillah, alhamdulillah secara rasminya kita telah pun memasuki zon kuning. Insha-Allah biiznillah, hari Khamis berkemungkinan masuk zon merah. Doakan,” tulisnya ringkas di media sosial.
Perkongsian isteri kepada usahawan, Datuk Mahadi Badrul Zaman itu menerima sokongan ramai, apabila orang awam membanjiri ruangan komen dengan doa agar perjalanan mereka dipermudahkan dan sampai ke destinasi dengan selamat.
Seorang pengguna media sosial meluahkan doa penuh harapan:
“Wahai tentera Allah: air, angin, langit, permudahkan perjalanan mereka. Bantulah mereka ya Allah. Tutup pandangan musuh Islam daripada melihat konvoi ini. Sampaikan mereka ke destinasi dengan selamat kerana ada saudara kami yang menunggu.”
Menurut penganjur, flotila bantuan antarabangsa itu kini hanya berbaki 399 batu nautika dari Semenanjung Gaza dan dijangka tiba di wilayah berkenaan esok.
Konvoi yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal itu berlayar sejak awal bulan ini membawa bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan, untuk penduduk Gaza.
Rakaman video dikongsi seorang aktivis Turkiye menunjukkan sebuah kapal tentera laut Greece yang sebelum ini mengiringi konvoi berundur dari perairan antarabangsa, manakala tentera laut Itali dan Sepanyol terus memberikan perlindungan.
Selain Heliza, turut serta dalam delegasi yang berlepas dari tanah air pada 31 Ogos lalu ialah adiknya Hazwani Helmi, penyanyi Ardell Aryana, Zizi Kirana serta pempengaruh media sosial, Farah Lee.

