“Hijab direntap, baju dalam saya digunting”, Zizi Kirana dedah detik hitam ditahan tentera Israel

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana mendedahkan pengalaman ngeri yang dilaluinya ketika ditahan tentera Israel dalam misi Global Sumud Flotilla baru-baru ini apabila auratnya dipaksa didedahkan dan pakaian dalamnya digunting oleh rejim zionis itu.

Menurut Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, dia bukan sahaja diperlakukan dengan kasar malah turut dipaksa membuka tudung serta stoking meskipun telah menegaskan perkara itu bertentangan dengan ajaran Islam.

“Apabila nama saya dipanggil untuk masuk ke imigresen, mereka suruh buka stoking dan kasut tapi saya cakap tak nak buka sebab haram. Namun mereka paksa juga.

“Dia paksa pula buka tudung, saya cakap saya Muslim, haram untuk saya buka hijab. Saya pegang tudung saya sambil ada orang tarik dari belakang. Kawan-kawan satu kapal menangis dan jerit suruh saya kuat,” katanya dalam satu temu bual eksklusif.

Zizi berkata, dalam keadaan tertekan itu, dia hanya mampu berdoa agar tentera Israel menerima balasan setimpal atas kekejaman mereka terhadap umat Islam.

Tambah penyanyi lagu Eh itu, dia turut dipaksa untuk tidak bertudung sepanjang berada dalam tahanan penjara Israel.

“Dia (tentera Israel) cakap nampak saya di TikTok dan Instagram, katanya saya dikenali. Saya hanya senyum sinis walaupun dalam hati berkata, ‘Ya Allah, inilah makhluk paling zalim di muka bumi.’

“Saya cuba tenang supaya tidak ganggu emosi dan elak perkara yang boleh memudaratkan diri. Sebelum naik bas ke penjara, hijab saya ditarik lagi.

“Baju bahagian dalam saya digunting sebab dia tak nak ada baju lain. Kasut dan stoking pun dah dibuka. Di penjara, kami dipaksa tukar baju dan langsung tidak dibenarkan pakai hijab,” jelasnya lagi.

Zizi turut berkongsi detik bertentang mata dengan tentera Israel yang menurutnya cuba menyembunyikan ketakutan.

BACA JUGA:  Individu pijak al-Quran seorang mualaf - Firdaus Wong

“Saya boleh nampak mereka sebenarnya takut. Dalam kapal itu sempit, saya duduk berhadapan dengan mereka dan bertentang mata. Dalam hati saya doa, ‘Ya Allah, hapuskanlah mereka dari muka bumi.’

“Dia tanya kenapa saya pandang, saya cuma jawab ‘Apa?’ Mungkin sebab itu saya jadi orang terakhir yang dibenarkan keluar dari kapal,” ujarnya.

Semalam, akaun Instagram Zizi Kembali kembali aktif selepas beliau dan 22 aktivis kemanusiaan Malaysia dibebaskan daripada tahanan Israel. Zizi turut memuat naik swafoto bersama kapsyen ringkas “Alhamdulillah”.

Kesemua 23 aktivis Malaysia itu dihantar pulang menaiki pesawat komersial dari Israel ke Istanbul, Turkiye, bersama sukarelawan dari beberapa negara lain.

Antara aktivis lain yang turut menyertai misi berkenaan ialah Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Ardell Aryana, Farah Lee dan PU Rahmat.

Ashrul Aizad
Ashrul Aizad
ashrulaizad@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...