HULU SELANGOR – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap tiga pelajar perempuan di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu, di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan daripada tiga pelajar perempuan berusia 16 tahun pada pukul 4.16 petang, semalam.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa yang juga rakan sekelas memaklumkan mereka diganggu secara seksual oleh seorang lelaki ketika berada di kawasan asrama MRSM berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki menyentuh mangsa tanpa kerelaan ketika mereka berada di asrama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek yang merupakan warga tempatan dan bukan warden asrama tersebut ditahan pada hari sama laporan dibuat.
“Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pagi tadi bagi permohonan reman.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.
Ibrahim menegaskan bahawa polis memandang serius kes-kes gangguan serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja, dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh.
“Kami menggalakkan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian seumpama ini supaya tampil membuat laporan, bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil,” ujarnya.

