Lelaki hentak, sepak pelajar madrasah ditahan

KOTA KINABALU – Seorang lelaki telah diberkas oleh polis bagi membantu siasatan susulan tularnya satu rakaman video yang memaparkan perbuatan mencederakan menggunakan senjata serta penderaan terhadap pelajar sebuah madrasah di Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata pihaknya menerima laporan polis selepas video berkenaan tular di media sosial.

“Kejadian dilaporkan berlaku pada kelmarin, kira-kira pukul 11.55 malam, di sebuah premis perniagaan sekitar Kota Kinabalu. Kejadian melibatkan sekumpulan pelajar sebuah madrasah dan seorang lelaki dewasa. Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis menangkap seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kasim, kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tular sebelum ini, sebuah video yang dimuat naik penyanyi rap dan aktivis, Caprice, di akaun Instagramnya memaparkan seorang lelaki berpakaian serba hitam memukul, menendang dan menghentak pelajar menggunakan topi keledar ketika mereka sedang duduk di balkoni premis terbabit.

Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video berkenaan bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

BACA JUGA:  JKNS gesa siasatan menyeluruh berhubung video aduan Hospital Jempol tular
Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com