Perangi rasuah tanpa kompromi, jaga perpaduan dan masa depan negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran tanpa mengira pangkat dan kedudukan, sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai satu pengkhianatan terhadap negara.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen, hari ini.

Menurut Baginda, kejayaan pembangunan dan perancangan negara tidak akan sempurna selagi budaya rasuah masih berleluasa dalam sistem pentadbiran, termasuk dalam kalangan penjawat awam dan wakil rakyat.

“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia sehingga ke peringkat tertinggi. Ini hanyalah ‘the tip of the iceberg’ dan saya yakin masih ramai lagi yang terlibat, termasuk dalam jabatan-jabatan lain,” titah Baginda.

Sehubungan itu, Baginda menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara pantas, tegas dan menyeluruh, selain menuntut sistem kehakiman menyediakan laluan khas agar kes-kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.

Baginda turut menyeru rakyat agar berani menjadi mata dan telinga negara dengan melaporkan sebarang bentuk rasuah, sambil menegaskan bahawa bukan sahaja penerima, malah pemberi rasuah dan ejen yang bersubahat juga mesti dikenakan tindakan.

Dalam titah yang sama, Seri Paduka Baginda merakamkan tahniah kepada kerajaan atas kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun lalu serta penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur. Baginda turut memuji pencapaian ekonomi negara yang mencatat pertumbuhan positif 4.7 peratus, dengan kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah serta kemiskinan tegar pada paras 0.09 peratus.

Menyentuh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang bermula tahun ini, Baginda menekankan keperluan memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.

BACA JUGA:  Bella Astillah, Syed Saddiq bakal berkahwin raya ke...?

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap ancaman keselamatan moden termasuk jenayah siber, manipulasi maklumat dan teknologi ‘deep fake’ yang berpotensi menggugat kestabilan sosial, selain menekankan keperluan undang-undang keselamatan negara ditangani secara berkesan.

Dalam aspek tadbir urus dan demokrasi, Baginda mengalu-alukan usaha memperkukuh institusi pilihan raya dan pembaharuan politik, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat serta penubuhan institusi Ombudsman.

Baginda turut menegaskan bahawa sistem pendidikan negara perlu terus diperkasa selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, dengan Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa utama dan Sejarah Malaysia sebagai asas pembinaan jati diri bangsa.

Menyentuh asas pembentukan negara, Seri Paduka Baginda mengingatkan semua pihak agar menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta mengekalkan hubungan harmoni antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri demi kepentingan bersama.

Mengakhiri titah, Baginda menyeru semua Ahli Yang Berhormat agar menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab, kerana setiap keputusan dan undian yang dibuat di Parlimen akan menentukan masa depan negara.

“Laksanakan tugas ini dengan penuh amanah, bijaksana dan bertanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat,” titah Baginda.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...