CHENG – Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka selepas disyaki mempergunakan anak saudara perempuannya yang berusia tujuh tahun untuk mengemis di sebuah stesen minyak di sini, semalam.
Serbuan dilakukan kira-kira pukul 6 petang yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Menurut Kalsom, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang bersimpati melihat kanak-kanak itu terpaksa mengemis di bawah cuaca panas dengan hanya berteduh menggunakan payung.
“Saya bergegas ke lokasi selepas menerima aduan mengenai perbuatan lelaki tersebut yang sanggup mengeksploitasi anak saudara sendiri untuk tujuan mengemis. Perbuatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), yang melarang sebarang bentuk eksploitasi kanak-kanak termasuk penggunaan mereka untuk mengemis atau tujuan komersial,” katanya kepada pemberita semalam.
Pemerhatian pemberita mendapati lelaki terbabit mula mengemis bersama kanak-kanak tersebut sejak pukul 4 petang. Kanak-kanak itu memakai kostum ‘Spiderman’ yang sudah lusuh, sambil membawa buku aktiviti mewarna dan melukis bagi mengisi masa menunggu sumbangan.
Sepanjang lebih dua jam, beberapa kenderaan berhenti untuk memberi sumbangan ke dalam kotak putih yang digantung di leher lelaki itu dengan tulisan “Sumbangan Ikhlas Hati”. Beberapa pemandu juga dilihat memberikan wang secara terus kepada kanak-kanak itu.
Hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan mendakwa berasal dari Pantai Timur. Kalsom menegaskan bahawa lelaki tersebut tidak ditahan, namun amaran keras telah diberikan.
“Sekiranya berdepan kekurangan makanan atau masalah kewangan, gunakan saluran bantuan yang betul dan jangan sesekali melibatkan kanak-kanak dalam situasi seperti ini,” tegasnya.

