BACHOK – “Mudah-mudahan doa dari sahabat semua ada keajaiban untuk anak saya.”
Itu luahan penuh harap seorang bapa, Muhammad Badrul, yang merayu doa orang ramai agar anak sulungnya, berusia tujuh tahun, diberi kekuatan untuk pulih selepas parah dipukul dengan tukul dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat, semalam.
Kanak-kanak itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat pendarahan di bahagian kepala.
Dalam hantaran di Facebook, Muhammad Badrul berkongsi rasa sedihnya melihat keadaan anak yang masih tidak sedarkan diri.
“Ini anak saya yang kes kelmarin dipukul di Jelawat Bachok. Minta jasa baik kepada semua, doakan anak sulung saya dipermudah segala urusan. Keadaan (anak) kritikal, pendarahan bahagian kepala tak henti,” tulisnya.
Sementara itu, insiden mengejutkan itu turut menggemparkan penduduk setempat kerana suspek yang dipercayai bapa saudara mangsa, ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di sebatang pokok rhu di Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd. Azrie Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 46 tahun itu dipercayai penagih dadah dan bertindak memukul mangsa selepas berlaku perselisihan.
Kejadian ini bukan sahaja meninggalkan trauma besar kepada keluarga mangsa, malah turut mengundang simpati masyarakat yang memenuhi ruangan komen media sosial dengan doa dan kata-kata semangat buat keluarga tersebut.

