KUALA LUMPUR – Anak sulung pelakon, Amyza Aznan, iaitu Andre Mikhail, 23, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas bertarung melawan kanser paru-paru tahap tiga.
Berita duka itu dikongsikan Amyza, 50, menerusi hantaran di Instagram Story (IGs), sebentar tadi.
âAssalammualaikum, dengan dukacita anak saya Andre Mikhail bin Khairil Izhar telah pulang ke negeri yang abadi. Minta semua sedekahkan al-Fatihah kepada anak saya,â tulisnya ringkas.
Dalam perkongsian sama, Amyza turut memuat naik foto seorang pegawai perubatan yang sedang melakukan pemeriksaan terhadap Allahyarham sebelum ini.
Terdahulu, pelakon itu pernah merayu kepada mana-mana individu yang mempunyai kepakaran dalam perubatan alternatif untuk membantu merawat Andre yang difahamkan berada dalam keadaan kritikal.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram sebelum ini, Amyza tidak putus-putus memohon doa serta sokongan orang ramai buat anak sulungnya itu.
Februari tahun lalu, Amyza berkongsi khabar duka apabila Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga. Selang setahun, anak keduanya, Adrian Adam, 18, pula disahkan menghidap kanser tulang, sekali gus mengejutkan ramai peminat dan rakan industri hiburan tanah air.

