KUALA LUMPUR – Seorang remaja berusia 18 tahun meluahkan rasa terkilan apabila ibunya mendiamkan diri selama tiga hari selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin tidak seperti dijangkakan keluarga.
Remaja itu berkata, dia berasa sedih dan tertekan kerana tidak memperoleh sebarang A meskipun telah berusaha sehabis baik.
“Saya sudah cuba yang terbaik, tetapi mungkin bukan rezeki untuk mendapat A. Saya hanya memperoleh keputusan 3B, 3C, 1D dan 1E.
“Sejak keputusan diumumkan, ibu langsung tidak bercakap dengan saya,” katanya dalam hantaran di Threads hari ini.
Situasi itu dilaporkan menimbulkan ketegangan di rumah sekaligus menjejaskan emosi remaja berkenaan.
“Saya faham ibu mungkin kecewa, tambahan pula saya anak sulung lelaki dan menjadi harapan selepas pemergian arwah ayah, tetapi cara ini (dipulau) buat saya rasa seperti tidak dihargai. Saya juga manusia biasa yang ada kelemahan,” luahnya.
Perkongsian remaja itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang menzahirkan rasa simpati serta menasihati ibu bapa supaya lebih memahami tekanan yang dihadapi anak-anak. – MYBERITA

