KUALA LUMPUR – Kawasan letak kereta di MRT Kwasa Sentral dilaporkan dinaiki air susulan hujan lebat, sehingga menyebabkan beberapa kenderaan hampir ditenggelami banjir.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @Bizz_kid, keadaan parkir dilihat dipenuhi air bertakung dengan paras mencecah tayar kereta, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemilik kenderaan.
“Air bertakung,” katanya ringkas ketika membalas pertanyaan netizen mengenai situasi sebenar di lokasi kejadian.
Seorang lagi pengguna, @Jack.saw.370 meluahkan harapan agar isu banjir tidak berulang sekiranya pembangunan diteruskan di kawasan tersebut.
“Harap nanti bila dah membangun tak ada lagi banjir,” katanya.
Dalam pada itu, @Mattbourne68 turut mendakwa paras air sudah meningkat sehingga mencecah bahagian badan kenderaan.
“Sampai ‘dada’ kenderaan dah tu,” katanya.
Situasi sama turut dikongsi pengguna lain, @Fifisaad yang menggesa pemilik kenderaan agar segera mengalihkan kenderaan masing-masing bagi mengelakkan kerosakan lebih serius.
“Cepat-cepat balik, hujan masih lebat. Kereta awak sikit lagi nak tenggelam,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir serta hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung termasuk seluruh Lembah Klang.
Kejadian ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap isu saliran dan pengurusan banjir di kawasan pembangunan pesat, khususnya di lokasi berhampiran kemudahan pengangkutan awam.

