Minyak hampir habis tak halang pemuda ini jadi wira ‘escort’ ambulans ke hospital

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penunggang motosikal membantu membuka laluan kepada sebuah ambulans yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Kuantan baru-baru ini meraih perhatian ramai selepas videonya tular di media sosial.

Pemuda berkenaan, Tuan Nurhan Syafiy Tuan Nor Azham Shah, 23, berkata, dia tidak pernah menyangka tindakannya itu menjadi perhatian kerana baginya membantu ambulans adalah tanggungjawab setiap pengguna jalan raya.

Menurut pelajar semester enam Ijazah Sarjana Muda Seni Visual di UCYP Universiti itu, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika dia dalam perjalanan pulang ke hostel di Tanjung Lumpur selepas menghadiri latihan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Katanya, keadaan lalu lintas ketika itu sangat sesak sehingga kenderaan hampir tidak bergerak.

“Saya sebenarnya nak pergi isi minyak sebab motosikal hampir kehabisan minyak. Tiba-tiba saya dengar bunyi siren ambulans dari belakang. Saya sendiri yang menunggang motosikal pun susah nak menyelit, apatah lagi ambulans,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ramai pemandu dipercayai tidak menyedari kehadiran ambulans tersebut, menyebabkan kenderaan kecemasan itu sukar bergerak.

“Saya ketuk tingkap beberapa kereta dan beri isyarat tangan menunjukkan ada ambulans di belakang. Bila mereka sedar, mereka terus memberi laluan.

“Saya nampak wajah pemandu ambulans itu agak gelisah. Siren kecemasan yang digunakan juga berbeza dan membuatkan saya lebih peka. Saya terfikir mungkin pesakit dalam keadaan sangat tenat,” ujarnya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia kemudian mengambil keputusan mengiringi ambulans tersebut sehingga tiba di hospital bagi membantu melancarkan perjalanan kenderaan kecemasan berkenaan.

“Masa itu walaupun minyak motosikal memang nak habis, tetapi Allah cukupkan untuk sampai ke hospital. Lampu isyarat pun semuanya hijau.

“Berjurai air mata sepanjang perjalanan ke hospital sebab saya takut orang yang berada dalam ambulans itu seseorang yang saya kenal. Saya akan menyesal kalau tak sempat sampai,” katanya.

Tambahnya, sebaik tiba di hospital, pemandu ambulans sempat mengucapkan terima kasih menerusi pembesar suara atas bantuan yang diberikan.

BACA JUGA:  “Itu kali terakhir saya kejutkan dia solat”, ibu pelajar UnIPSAS reda pemergian anak

Tuan Nurhan Syafiy berkata, semangat membantu orang lain telah diterapkan sejak kecil oleh kedua ibu bapanya yang berkhidmat dalam bidang menyelamat dan kesihatan.

Ibunya merupakan jururawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan manakala bapanya seorang anggota bomba.

Menurutnya, dia dimaklumkan pesakit yang dibawa dalam ambulans tersebut ialah seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

“Ibu saya bertugas di wad kanak-kanak. Dia terkejut apabila mengetahui video itu tular selepas dimaklumkan oleh rakan-rakannya.

“Ibu memang sentiasa ingatkan kepentingan membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira masa dan keadaan. Bapa pula seorang anggota bomba, jadi nilai kemanusiaan memang diterapkan sejak kecil,” katanya.

Mengulas mengenai video tular tersebut, beliau menjelaskan bahawa itu bukan kali pertama dirinya membantu kenderaan kecemasan mendapatkan laluan.

“Sebelum ini pun saya sudah beberapa kali bantu ambulans dan jentera bomba. Saya aktif dengan NGO serta aktiviti sukarelawan sejak usia 18 tahun.

“Kalau ada yang menganggap generasi muda kurang peka atau kurang kesedaran sivik, saya tidak setuju kerana ramai anak muda sebenarnya aktif membantu masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa peka terhadap kehadiran ambulans dan kenderaan kecemasan lain serta mengelakkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu.

“Kurangkan penggunaan telefon ketika memandu kerana beberapa saat leka boleh memberi kesan kepada nyawa seseorang. Kadang-kadang pesakit dalam ambulans itu sedang bertarung antara hidup dan mati,” katanya.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Ibu mengaku salah campak bayi dari tingkat 10

JOHOR BAHRU – Seorang ibu muda mengaku bersalah di...

DUN Johor dibubar, laluan PRN ke-16 bermula

JOHOR BAHRU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi...

Anggrek, Azeva terselamat daripada penyingkiran TTMM2

SHAH ALAM - Konsert minggu ketujuh program realiti hiburan...

Remaja hilang dekat Bukit Changkat Asa ditemui meninggal dunia lepas empat hari SAR

HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja...

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...