KUALA LUMPUR – Sambutan luar biasa terhadap Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) menyaksikan hanya kira-kira 20 peratus tiket masih berbaki, dengan peminat mula berpusu-pusu mendapatkan tempat menjelang malam kemuncak di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos depan.
Lonjakan jualan itu dipercayai didorong faktor hujung minggu pertama selepas hari gaji, apabila ramai mengambil peluang untuk mendapatkan tiket lebih awal sebelum kategori popular habis dijual.
Menurut penganjur, AJL40 terus menerima reaksi hangat sejak tiket mula dibuka kepada umum, sekali gus membuktikan acara itu masih menjadi antara pentas muzik paling dinanti di negara ini.
“Permintaan untuk AJL40 sangat luar biasa tahun ini. Kami menjangkakan tiket akan habis terjual lebih awal berbanding edisi sebelumnya,” kata penganjur.
Dalam masa sama, penganjuran edisi ke-40 ini turut membawa makna besar apabila AJL terus kekal sebagai platform utama yang mengangkat karya muzik tempatan, daripada komposer, penulis lirik hingga ke penyanyi yang mencorakkan industri.
Bagi peminat, kehadiran secara fizikal ke malam kemuncak dianggap pengalaman lebih eksklusif berbanding hanya menonton di kaca televisyen, apatah lagi dengan penganjuran yang dijangka lebih besar sempena ulang tahun ke-40.
Pelbagai kategori tiket masih ditawarkan termasuk Super VVIP (RM398) yang dilengkapi laluan karpet merah dan barangan eksklusif, Arena – Laluan Khas (RM188), Aras 3 (RM98) serta Aras 4 (RM78).
Tiket boleh didapati menerusi laman www.wowtix.com.my, manakala peminat turut disaran mendapatkan segera tempat sebelum kehabisan.
“Ini adalah edisi istimewa AJL. Kami mengalu-alukan peminat untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada sejarah muzik tanah air,” menurut penganjur lagi.


