REMBAU – Seorang pelajar Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 32.2 Jalan Seremban–Tampin berhampiran simpang Penajis–Chengkau, pagi tadi, dalam kejadian yang turut menambah statistik kemalangan maut di lokasi berkenaan.
Mangsa, Muhammad Haziq Afiq Mohd Shahril, 18, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada badan selepas motosikal Yamaha LC ditunggangnya bertembung dengan sebuah Honda City kira-kira jam 7.55 pagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Azmi Ali berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal mangsa sedang bergerak dari arah Tampin ke Rembau, manakala kereta yang dipandu seorang guru wanita berusia 49 tahun datang dari arah bertentangan sebelum membelok ke kanan memasuki simpang.
“Ketika kejadian mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Tampin menghala ke Rembau, manakala kereta dipandu wanita terbabit datang dari arah bertentangan. Siasatan awal mendapati ketika mangsa meneruskan perjalanan di lorong kiri, pemandu kereta dipercayai membelok ke kanan untuk memasuki Simpang Penajis-Chengkau sebelum motosikal mangsa gagal mengelak lalu merempuh bahagian kereta tersebut,” katanya.
Akibat pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta serta seorang penumpang cedera, sementara dua penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan kejadian itu turut direkodkan sebagai kemalangan maut ketiga di lokasi sama sejak pertengahan April lalu.




