Rabu, 12 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
HiburanAina Abdul 'sebak' terima penghargaan Tourism Industry Malaysia

Aina Abdul ‘sebak’ terima penghargaan Tourism Industry Malaysia

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu, Aina Abdul, mengakui sebak hingga menitiskan air mata selepas menerima penghargaan daripada pihak Tourism Industry Malaysia yang disifatkannya sebagai satu amanah besar dalam perjalanan seninya.

Menerusi perkongsian di Instagram dan Threads, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata pengiktirafan berkenaan membuatkan dirinya kembali bermuhasabah mengenai pencapaian yang telah dilalui serta tanggungjawab untuk terus berkarya.

“Ya Allah, tanggungjawab ini besarrr. Tapi Aina tetap bersyukur dengan apa sahaja yang mendatang, contohnya penghargaan ini,” katanya.

Menurut Aina, masih banyak perkara yang ingin dipelajari dan dicapai, selain cerita daripada hati yang mahu diterjemahkan menerusi karya-karya baharunya.

Katanya, panggilan yang membawa berita mengenai penghargaan itu membuatkan emosinya bercampur-baur sehingga timbul persoalan sama ada dirinya benar-benar layak menerima pengiktirafan berkenaan.

“Bila Aina dapat panggilan ni, nangis, terharu, sebak, sampai terfikir apa je aku buat Ya Allah, cukup ke? Layak ke aku?” katanya.

Bagaimanapun, Aina melihat penghargaan tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap perjalanan seninya, sebaliknya sebagai dorongan untuk terus menghasilkan karya dan berkongsi sesuatu yang bermakna dengan peminat.

“Yang Aina pasti, ini adalah satu bentuk tanggungjawab yang besar untuk tidak berhenti menulis dan menyanyi,” katanya.

Aina turut merakamkan penghargaan kepada pihak Tourism Industry Malaysia atas pengiktirafan yang diterimanya.

Penglibatan Aina dalam usaha mempromosikan Malaysia menerusi bidang seni bukan perkara baharu apabila penyanyi itu sebelum ini turut diberi kepercayaan menyanyikan versi baharu lagu ikonik Cuti-Cuti Malaysia menerusi lagu ‘Menemui Semula’.

Pada Julai lalu, Aina juga antara artis tempatan yang membuat persembahan pada Citrawarna 2026 di Dataran Merdeka, acara utama Tourism Malaysia sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-