SHAH ALAM – Kemelut rumah tangga pelakon dan usahawan, Syida Melvin bersama Mohamad Syafiq Azim Shaheen akhirnya berakhir apabila pasangan itu sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor, pagi Rabu.
Lafaz cerai itu dibuat oleh Syafiq di hadapan hakim pada jam 9.25 pagi, sekali gus menamatkan perkahwinan mereka selepas lebih tujuh tahun bergelar suami isteri.
Peguam syarie yang mewakili Syida, Nurul Jamaliah berkata, prosiding perceraian berlangsung lancar dan pihak defendan telah melafazkan talak satu yang merupakan talak raj’ie.
“Segalanya sudah selesai dengan lafaz talak satu, talak raj’ie,” katanya.
Menurut Jamaliah, Syida bagaimanapun akan meneruskan beberapa tindakan susulan berkaitan kebajikan tiga cahaya mata mereka, termasuk permohonan hadanah dan nafkah anak.
“Kita akan failkan berkaitan dengan kes hadanah serta nafkah anak selepas selesai kes ini dan perlu tunggu terlebih dahulu dokumen yang akan dikeluarkan pihak mahkamah,” katanya.
Syida ketika ditemui selepas prosiding turut meluahkan rasa syukur kerana urusan di mahkamah berjalan seperti yang diharapkan.
“Alhamdulillah prosiding hari ini selesai dengan cepat seperti yang dijangkakan,” katanya.
Sebelum ini, isu rumah tangga Syida dan Syafiq mula mendapat perhatian selepas Syida dilaporkan memfailkan permohonan cerai pada Disember tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Perkara itu kemudiannya disahkan oleh peguamnya.
Syida atau nama sebenarnya, Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin, mendirikan rumah tangga dengan Syafiq pada 19 Januari 2019
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa.
Dengan pengesahan perceraian itu, perhatian kini beralih kepada proses susulan membabitkan hak penjagaan serta nafkah anak yang akan difailkan selepas dokumen berkaitan perceraian diperoleh daripada pihak mahkamah.

