SUNGAI SIPUT – Sebaris demi sebaris perkataan dibaca, sedikit demi sedikit keyakinan dibina apabila sekumpulan mahasiswa Orang Asli turun padang mendekati murid Temiar menerusi Projek Jok Belaja di Pos Kuala Mu, di sini.
Program selama empat hari itu menyasarkan murid Tahun Empat hingga Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu, dengan aktiviti literasi Bahasa Melayu yang dirangka secara santai, interaktif dan bersesuaian dengan tahap penguasaan peserta.
Inisiatif berkenaan dianjurkan Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia (PMOA) dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali Ismail (IPGKDRI).
Pengarah Projek, Nurul Izzati Noorli, 22, berkata pengalaman berinteraksi secara dekat dengan murid memberi makna besar kepada pasukan pelaksana, khususnya apabila melihat perubahan keyakinan peserta sepanjang program.
“Setiap perkataan yang berjaya mereka baca ibarat sebuah kemenangan besar dan mengingatkan kami bahawa usaha kecil yang dilakukan dengan ikhlas mampu memberi impak besar dalam kehidupan seseorang,” katanya.

Menurutnya, Projek Jok Belaja bukan sekadar memberi pendedahan asas membaca dan mengenal huruf, sebaliknya membuka ruang kepada mahasiswa Orang Asli untuk kembali menyumbang kepada komuniti asal mereka menerusi pendidikan.
Katanya, kehadiran fasilitator yang mempunyai latar belakang komuniti sama turut membantu mewujudkan suasana pembelajaran lebih dekat dan selesa untuk murid.
“Program ini diharap dapat membantu murid membina keyakinan untuk terus belajar serta berani mengimpikan masa depan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, projek berkenaan turut mendapat sokongan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), manakala IPGKDRI menyumbangkan kepakaran pendidikan dan YSS memperkukuh aspek kesukarelawanan belia.

Beberapa rakan strategik turut membantu menerusi sumbangan kewangan serta bahan bacaan bagi menyokong usaha memperluas akses pendidikan kepada komuniti Orang Asli.
Walaupun berlangsung hanya empat hari, Projek Jok Belaja diharap menjadi pencetus kepada pengalaman pembelajaran yang positif, sekali gus mendorong murid untuk terus memperkukuh kemahiran membaca dan membina keyakinan diri.

