KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar sambutan Hari Kebangsaan esok berlangsung dengan lancar, selain semua pihak yang terlibat memberikan usaha terbaik bagi menjayakan acara berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku di sini.
“Saya berharap sambutan kemerdekaan berlangsung dengan lancar dan tidak sabar untuk menyaksikan semua pihak yang terlibat memberikan usaha sebaiknya dalam memperingati peristiwa yang cukup penting dalam sejarah negara kita,” titah Seri Paduka Baginda.
Dalam pertemuan itu, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan mengenai pelbagai perkembangan terkini dalam negara, termasuk persiapan bagi sambutan Hari Kebangsaan.
Sementara itu, Anwar dijadualkan menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya petang ini.
Amanat berkenaan dijangka menyentuh beberapa ikhtiar penting berkaitan kebimbangan serta kehidupan rakyat.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 yang bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” dijadualkan bermula pada 8 pagi esok di Dataran Putrajaya.
Sambutan itu akan menyaksikan penyertaan seramai 10,819 peserta perbarisan yang melibatkan 76 kontinjen dan 22 pasukan pancaragam.
Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijadualkan berangkat menyaksikan sambutan berkenaan yang turut dihadiri Anwar serta barisan Jemaah Menteri.

