IPOH – Perjalanan tiga lelaki di laluan Simpang Pulai menuju Cameron Highlands berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan membabitkan dua lori, malam tadi.
Dalam kejadian di Jalan Simpang Pulai menghala Cameron Highlands itu, dua lelaki berusia 40 dan 35 tahun yang menaiki lori membawa muatan sayur disahkan meninggal dunia di lokasi.
Seorang lagi lelaki berusia 42 tahun yang memandu lori membawa muatan habuk kayu pula cedera selepas tersepit di dalam kenderaannya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.36 malam sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dikerahkan ke lokasi.
“Kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan habuk kayu dengan seorang lelaki berusia 42 tahun tersepit di dalamnya dan sebuah lori membawa muatan sayur di mana terdapat dua lelaki masing-masing berusia 40 dan 35 tahun.
“Kedua-dua lelaki yang menaiki lori muatan sayur itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan hidraulik untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum lelaki berkenaan diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke hospital.
Mayat kedua-dua mangsa pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pasukan bomba turut membersihkan sisa kemalangan dan tumpahan minyak di atas jalan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.15 pagi selepas lokasi disahkan selamat.
