KUALA LUMPUR – Gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melonjak dua anak tangga ke kedudukan ketiga dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang diumumkan hari ini.
Peningkatan ranking tersebut hadir selepas kejayaan mereka merangkul kejuaraan Terbuka Thailand 2025, kejohanan Super 500 yang berlangsung Ahad lalu. Kemenangan itu menyumbang kepada jumlah 83,170 mata yang kini meletakkan mereka hanya di belakang pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang mengumpul 91,090 mata.
Sementara itu, beregu Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen terus mengukuhkan kedudukan sebagai beregu nombor satu dunia.
Dalam saingan beregu wanita, pasangan negara Pearly Tan-M Thinaah mengekalkan kedudukan keempat dunia dengan 82,466 mata, di belakang pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee (87,500 mata) dan beregu Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang terus mendominasi tangga kedua dunia dengan 92,932 mata.
Di final Terbuka Thailand, Aaron-Wooi Yik menampilkan aksi bertenaga selepas bangkit menewaskan pasangan muda Denmark, Wiiliam Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dengan keputusan 20-22, 21-17, 21-12.
Manakala Pearly-Thinaah turut mencuri tumpuan apabila merangkul gelaran pertama mereka musim ini selepas menundukkan wakil Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo, dalam straight set 21-16, 21-17.
Kejayaan ini dilihat sebagai satu suntikan semangat menjelang saingan-saringan besar seterusnya termasuk kelayakan ke Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia 2025. Peminat sukan tanah air kini menaruh harapan tinggi kepada barisan pemain negara untuk terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.