GOMBAK – Pempengaruh media sosial dikenali sebagai ‘CEO Batu’ yang sebelum ini ditahan berhubung siasatan mesej berunsur lucah terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman, pada Selasa.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan pembebasan lelaki berusia 22 tahun itu.
“Kes masih dalam siasatan dan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Terdahulu, suspek ditahan reman selama empat hari bermula 22 Mei lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, sebelum tempoh itu dilanjutkan sehari lagi pada Isnin.
Difahamkan, perbuatan menghantar mesej berbaur lucah terhadap mangsa dipercayai bermula sejak awal Mei lalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman tegas sekiranya sabit kesalahan.