Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAJENAYAHDua askar cuba curi lembu dikejar penduduk kampung

Dua askar cuba curi lembu dikejar penduduk kampung

- Advertisement -

JASIN – Dua anggota tentera direman sehari selepas menyerah diri kepada pihak polis susulan cubaan mencuri lembu yang digagalkan oleh penduduk kampung di Simpang Bekoh, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 26 tahun itu tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin kira-kira jam 2.30 petang sebelum ditahan dan direman bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, pemilik lembu berusia 41 tahun membuat laporan selepas menerima panggilan daripada rakannya yang mengesan kehadiran sebuah kereta mencurigakan di kawasan kandang ternakan sekitar jam 3.25 pagi.

“Siasatan awal mendapati salah seorang suspek sempat masuk ke dalam kandang lembu manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta jenis Proton Persona.

“Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu cuba mengejar suspek, namun mereka berjaya melarikan diri.

“Bagaimanapun, kenderaan dinaiki mereka terbabas dan melanggar penghadang sungai sebelum ditinggalkan di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, salah seorang suspek mengaku kenderaan yang ditinggalkan itu miliknya dan mereka sebelum ini telah berjaya mencuri seekor lembu dari kawasan yang sama dipercayai untuk dijual sempena Aidiladha.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Jasin esok untuk permohonan lanjutan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN