SEPANG – Dua lelaki warga asing ditahan pihak polis selepas dikesan melakukan aksi berbahaya dengan memanjat bumbung sebuah kenderaan yang sedang bergerak di Lebuh Raya Damansara–Puchong, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima sebuah video tular di media sosial pagi semalam yang memaparkan dua individu melakukan aksi berbahaya tersebut di atas jalan raya.
Menurut beliau, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah mengambil tindakan segera bagi mengesan dan menahan kedua-dua suspek yang terlibat.
“Video itu menunjukkan dua lelaki memanjat bumbung kenderaan yang sedang bergerak. Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki tersebut merupakan penumpang kenderaan manakala pemandu disahkan tidak terlibat dalam perbuatan berbahaya itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Norhizam menjelaskan, individu pertama yang duduk di tempat penumpang hadapan keluar melalui tingkap pemandu, kemudian memanjat ke atas bumbung kenderaan sewaktu ia sedang bergerak dan masuk semula ke dalam kenderaan melalui tingkap penumpang hadapan.
Video yang sama turut memaparkan individu kedua yang duduk di tempat penumpang belakang bertukar tempat dengan individu pertama sebelum melakukan aksi sama.
Ketika kejadian, kedua-dua suspek dilaporkan dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar pemandu kenderaan yang ingin pulang ke Tajikistan.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut dan suspek akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana melakukan perbuatan yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.