KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati agar mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 baru-baru ini tidak dikenakan tindakan buang universiti.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menerusi satu hantaran di Facebook hari ini yang memetik pesanan Anwar bahawa masa depan dan pengajian pelajar perlu menjadi keutamaan.
“Bagi YAB Perdana Menteri, mereka mungkin melakukan kesilapan, namun masa depan dan pengajian mereka jauh lebih penting serta perlu diberikan keutamaan,” katanya.
Terdahulu, perhimpunan anjuran kumpulan Suara Mahasiswa UMS itu berlangsung di sekitar bandar raya Kota Kinabalu, Sabah, dengan pelajar membawa plakad menyuarakan isu rasuah dan masalah bekalan air.
Perhimpunan tersebut turut menarik perhatian apabila dilaporkan peserta membakar karikatur Perdana Menteri, sekali gus mencetuskan siasatan oleh pihak berkuasa.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan, para peserta sedang disiasat atas sembilan kesalahan termasuk menghasut, melakukan pembakaran terbuka, membawa bahan kakisan berbahaya serta menyentuh isu sensitif berkaitan institusi raja, agama dan kaum (3R).
Siasatan dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Hasutan 1948 serta beberapa peruntukan lain di bawah Kanun Keseksaan.
Anwar bagaimanapun menekankan pendekatan berhemah dalam menangani isu tersebut, agar tindakan yang diambil tidak menjejaskan masa depan para pelajar terlibat.