KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.
Istiadat pengurniaan watikah tersebut berlangsung di Istana Negara di sini, hari ini.
Turut hadir menyaksikan istiadat itu ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Tan Sri Muhammad Shahrul, yang berasal dari Pahang, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi dari Universiti Malaya. Beliau juga telah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan Wisma Putra, beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1988. Antara jawatan tertinggi yang pernah disandangnya termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dari 6 Januari 2019 hingga 31 Mei 2022.
Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam sektor diplomatik, beliau pernah menjawat beberapa jawatan penting, termasuk sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar dan Austria, serta Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2015, serta Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala.
Selain itu, pengalaman diplomatik beliau turut meliputi penempatan di beberapa perwakilan Malaysia di luar negara termasuk di Vienna, Washington D.C., dan Beijing.
Pelantikan beliau sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat dilihat sebagai kesinambungan perkhidmatan cemerlang beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia di pentas antarabangsa.