SHAH ALAM – Seorang remaja lelaki cedera di muka dan lengan selepas berjaya menyelamatkan diri dalam cubaan culik ketika sedang berjoging seorang diri di Seksyen 13, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 petang apabila mangsa dihampiri sebuah kereta dinaiki dua lelaki, sebelum salah seorang daripada mereka turun dan mengacukan pisau sambil mengarahkan remaja tersebut masuk ke dalam kenderaan.
“Namun mangsa enggan dan berlaku pergelutan antara mereka, sebelum mangsa berjaya melarikan diri ke pondok pengawal sebuah kondominium berdekatan untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala pihak polis kini giat menjalankan siasatan di bawah Seksyen 363/511 dan 324 Kanun Keseksaan.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628 bagi membantu siasatan.