Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONALPAS Terengganu mohon maaf isu kesilapan Jalur Gemilang

PAS Terengganu mohon maaf isu kesilapan Jalur Gemilang

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu tampil memohon maaf secara terbuka susulan kesilapan pada Jalur Gemilang yang digunakan dalam logo promosi acara “Himpunan Teguh Memimpin Terengganu” yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, PAS Terengganu mengakui berlaku kekhilafan teknikal yang tidak disengajakan, dan pihaknya telah mengambil tindakan segera bagi memperbetulkan perkara tersebut.

“Pihak kami ingin merakamkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat dan penyokong atas kekhilafan teknikal yang tidak disengajakan dan telah mengambil tindakan segera untuk menarik balik penggunaan logo tersebut,” menurut kenyataan itu.

PAS Terengganu turut mengucapkan terima kasih atas maklum balas orang ramai serta telah berkongsi versi logo yang telah diperbetulkan untuk digunakan selepas ini.

Terdahulu, poster promosi acara tersebut yang mula diedarkan minggu lalu memaparkan logo yang mengandungi Jalur Gemilang di sebelah kiri, logo PAS di tengah, dan bendera Terengganu di sebelah kanan.

Bagaimanapun, versi Jalur Gemilang yang digunakan dalam logo itu telah menimbulkan kritikan dalam kalangan warga maya.

Bintang kuning yang sepatutnya mempunyai 14 bucu hanya dipaparkan dengan 11 bucu, manakala bilangan jalur merah dan putih pula hanya 12, berbanding 14 seperti dalam Jalur Gemilang rasmi.

Jalur dan bintang pada bendera kebangsaan melambangkan 13 negeri dan Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam Persekutuan Malaysia.

Kesilapan ini turut mencetuskan perbincangan hangat dalam talian, memandangkan ia bukan kali pertama insiden melibatkan kesalahan penggunaan bendera negara berlaku sejak kebelakangan ini.

Acara “Himpunan Teguh Memimpin Terengganu” dijadual berlangsung dari 29 hingga 31 Mei di Kemaman, dengan kehadiran pemimpin utama PAS dan penyokong parti dari seluruh negeri.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN