TAPAH – Seorang anggota polis, Konstabel Muhammad Azizie Haqqiem Azman, 22, meluahkan rasa teruja apabila berpeluang mengundi buat kali pertama sebagai penjawat awam di pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, pagi ini.
Beliau yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, telah melaksanakan tanggungjawabnya seawal pukul 8.20 pagi di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan IPD Tapah.
“Pertama kali mengundi awal jadi agak gementar sikit tetapi perlu sedar menunaikan kewajipan untuk negara.
“Selain itu, golongan muda perlu menunjukkan contoh dengan datang awal untuk mengundi bagi kemajuan ekonomi dan masa depan negara,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi.
Tinjauan mendapati suasana di pusat pengundian awal itu berjalan lancar dengan kehadiran konsisten anggota polis sebaik sahaja pusat pengundian dibuka.
Hanya satu saluran disediakan di dewan berkenaan dan menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 27 anggota polis bersama pasangan masing-masing dijadualkan mengundi awal di lokasi tersebut.
Pusat pengundian awal dijangka ditutup pada pukul 12 tengah hari ini berikutan jumlah pemilih yang kecil.