Khamis, 17 Julai 2025
UTAMANASIONALRafizi Ramli umum letak jawatan menteri

Rafizi Ramli umum letak jawatan menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR  – Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau daripada Jemaah Menteri, berkuat kuasa 17 Jun 2025.

Menurut Rafizi, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut kepada Perdana Menteri dan akan menggunakan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun sebelum penamatan rasmi tugas.

Katanya, keputusan untuk meletak jawatan dibuat berikutan kekalahan beliau dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, yang menurutnya bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat untuk meneruskan pelaksanaan agenda rakyat sebagai wakil parti dalam kerajaan.

“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baharu yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Seperti di negara-negara demokratik lain, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti wajar memberi laluan kepada yang menang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada warga Kementerian Ekonomi atas sokongan yang diberikan sepanjang beliau menerajui kementerian itu.

Beliau menyatakan keyakinannya bahawa dasar-dasar serta program yang telah dirangka, termasuk reformasi ekonomi, akan terus dilaksanakan dengan baik oleh penjawat awam yang berkemampuan tinggi.

Beliau turut menzahirkan kepuasan kerana sempat menyempurnakan tanggungjawab terakhirnya iaitu penggubalan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang kini menunggu untuk dibentangkan di Parlimen.

RMK13, menurut beliau, memberi tumpuan kepada reformasi menyeluruh dalam sektor pendidikan termasuk pembaharuan struktur melibatkan Kementerian Pendidikan.

“Saya berharap Jemaah Menteri akan terus mengekalkan reformasi berani yang dirangka, walaupun saya tidak lagi berada dalam kerajaan,” tambahnya.

Mengakhiri kenyataan, Rafizi mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, penjawat awam, sektor swasta, media dan semua pemegang taruh yang terlibat dalam kerjanya sebagai Menteri Ekonomi.

“Perjalanan untuk merubah struktur ekonomi negara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi masih jauh. Justeru, kita perlu terus membuat keputusan berani demi masa depan generasi akan datang,” katanya.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN