Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMASEMASASeparuh akhir milik Pearly-Thinaah, 34 minit bukan kemenangan mudah

Separuh akhir milik Pearly-Thinaah, 34 minit bukan kemenangan mudah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah terus mengorak langkah ke separuh akhir kejohanan Badminton Terbuka Thailand selepas menewaskan gandingan China, Chen Qing Chen-Wang Ting Ge, dalam perlawanan straight set hari ini.

Beraksi di Stadium Nimibutr, Bangkok, pasangan pilihan keempat kejohanan itu hanya memerlukan 34 minit untuk mencatat kemenangan 21-14, 21-11. Namun, menurut Thinaah, perlawanan itu tidak semudah yang dilihat.

“Ia bukan tempoh 34 minit yang mudah… ada masa kami pun berdebar juga,” katanya kepada laman rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pasangan ini mengakui kemenangan tersebut menjadi suntikan semangat terbaik dalam usaha mereka memburu kejuaraan pertama musim ini selepas beberapa prestasi tidak konsisten.

“Tahun ini banyak naik turun, jadi kami banyak duduk berbincang untuk cari jalan tingkatkan corak permainan,” tambah Pearly.

Mereka dijadualkan bertemu pasangan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara di peringkat separuh akhir, selepas lawan tersebut menewaskan beregu Indonesia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose 21-9, 21-16.

Untuk rekod, ini merupakan penampilan ketiga Pearly-Thinaah di peringkat separuh akhir musim ini selepas Terbuka India dan Masters Indonesia, dan misi utama mereka kini adalah menamatkan kemarau kejuaraan yang berpanjangan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN